Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Penuntut IPT Perlis Disyaki Buang Bayi Ditahan

Penuntut IPT Di Perlis Disyaki Buang Bayi Ditahan

ARAU: Polis hari ini menahan seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) berhubung kes penemuan seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan yang dibalut plastik hitam di hadapan depan gerai berhampiran Taman Seri Wang.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perlis, Asisten Komisioner Wari Kiew, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan bayi itu pada kira-kira jam 9.10 pagi tadi dalam keadaan masih bertali pusat."


Hasil siasatan awal mendapati Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis juga menerima panggilan daripada seorang wanita (suspek) memaklumkan meninggalkan seorang bayi berdekatan kawasan berkenaan.


"Wanita itu juga meninggalkan nombor telefon selepas dipujuk pihak JKM," katanya kepada media, hari ini.


Wari berkata, selepas menerima panggilan itu, JKM Perlis bergegas ke lokasi dan menemui seorang bayi masih bertali pusat dibalut dengan plastik hitam.


Beliau berkata, pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) turut ke lokasi berkenaan dan membawa bayi itu ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar bagi mendapatkan rawatan susulan.


"Bayi itu dilaporkan kini berada dalam keadaan sihat dan stabil," katanya.


Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. –BERNAMA

Post a Comment for "Penuntut IPT Perlis Disyaki Buang Bayi Ditahan"